Tuesday, December 21, 2010

Bidadari Sang Suami

WANITA mempunyai sifat yang mudah mengikut dan sensitif dengan perkembangan sekelilingnya. Jika sifat mudah mengikut ini ke arah kebaikan, ia akan menjadikan wanita itu seorang yang taat pada perintah Allah dan mudah meninggalkan larangan Allah. Hatinya yang lembut itu mudah dibentuk untuk mencintai Allah dan Rasul.


Jika hati wanita dibajai dengan dua kecintaan itu, mereka akan menjadi orang yang paling sensitif dengan Tuhannya. Sedikit kesalahan yang dilakukan terasakan bagai batu besar yang jatuh menimpa kepalanya. Wanita mudah mengalirkan air mata kerana Tuhan. Hati mereka mudah menangis dan merintih dengan dosa-dosa yang dilakukan. Kalau wanita-wanita beriman ini berumahtangga, mereka akan menjadi isteri yang taat dan setia pada suaminya. Wanita-wanita di zaman Salafussoleh menjadi ikutannya. Bagaimana sifat wanita beriman di zaman Salafussoleh?

Pernah suatu ketika pada giliran Aisyah, Rasulullah berjanji hendak pulang. Selalunya kalau Rasulullah mengatakan baginda akan pulang, baginda tetap akan pulang. Menjadi kebiaasan sifat isteri-isteri Rasulullah yang akan menanti kepulangan Rasulullah. Mereka menanti bukan duduk sahaja. Mereka penuhkan penantian itu dengan membaca al-Quran, berdoa dan sembahyang sampai Rasulullah s.a.w pulang. Mereka tidak mahu bila suami pulang, suami terpaksa panggil mereka banyak kali kerana mereka tidak bangun-bangun dari tidur. Mereka tidak mahu suami berkecil hati dengan sikap mereka. Pernah Rasulullah s.a.w bersabda bahawa jika seorang wanita itu melayan suaminya secukupnya, taat kepada suami, berjaya menjadikan rumah tangganya syurga buat suami, maka cukup dengan sembahyang wajib dan puasa wajib, tidak buat pahala sunat pun tidak mengapa (kalau boleh buat perkara sunat lagi baik).

Mereka redha dan sabar dengan pemergian suami. Mereka menjaga maruah diri, menjaga harta benda suami, menjaga aib suami dan memelihara kehormatan dirinya. Maka isteri yang begini akan mendapat pahala yang sama seperti pahala suaminya berjuang dan mencari rezeki yang halal. Begitu mudah bagi isteri untuk mendapat pahala. Berbalik kepada kisah Aisyah tadi, Siti Aisyah yang sedang menunggu Rasulullah s.a.w tertidur. Rasulullah s.a.w pulang memberi salam dan mengetuk pintu. Tiada jawapan. Rasulullah s.a.w mengetuk pintu dan memberi salam tiga kali, tiada juga jawapan. Maka demi tidak mahu menyusahkan isterinya dan tidak juga mahu memungkiri janjinya kepada Aisyah bahawa baginda akan balik, maka Rasulullah s.a.w pun tidur di hadapan rumahnya itu. Pada subuhnya, apabila Siti Aisyah menyelak daun pintu, dilihatnya Rasulullah s.a.w sedang tidur di muka pintu rumahnya. Siti Aisyah merasa sangat bersalah, dan bertawaf di sekeliling Rasulullah s.a.w berpuluh-puluh kali sambil meminta maaf. Rasulullah s.a.w menjawab: "Ya Aisyah, bukan salahmu. Tapi salah saya kerana pulang lewat. Insya Allah saya akan pulang awal lain kali." Sebenarnya Rasulullah tidak bersalah, tetapi untuk mengelakkan syaitan dari menyelinap masuk ke dalam rumah tangganya, Rasulullah yang meminta maaf. Bagaimana pula sikap kita apabila suami pulang lewat? Tentulah isteri akan berleter panjang. Suami pula sudah tentu akan naik berang bila isteri lambat buka pintu. Lambat buka pintu pun suami sudah masam muka, betapa jikalau pintu tidak dibuka.

Satu lagi akhlak Rasulullah yang patut dicontohi ialah baginda begitu berhikmah apabila menghadapi isteri yang sedang berleter. Baginda tidak menjawab sepatahpun. kerana memberi peluang isterinya meluahkan seluruh ketidakpuasan hatinya. Apabila isterinya telah diam, barulah baginda memberikan penjelasan atau terus sahaja memaafkan atau melupakan perkara itu. Inilah satu pengajaran buat suami apabila berhadapan dengan leteran isteri. Jangan membalas leteran isteri yang sedang marah, kerana ini akan memburukkan keadaan. Tunggulah kemarahannya reda dan sejuk hatinya barulah beri penjelasan.

Di dalam satu kisah yang lain, pernah Siti Fatimah bersenda gurau denga suaminya, Saidina Ali. Tanpa sedar ada satu sikapnya yang menyinggung Saidina Ali. Apabila Siti Fatimah mengetahui hal yang sedemikian, beliau telah bertawaf mengelilingi Saidina Ali sebanyak 72 kali dengan keadaan yang penuh ketakutan sehingga Saidina Ali senyum menandakan hatinya telah redha. Dalam pada itu, kerana masih rasa berdosa dengan suaminya, Siti Fatimah telah mengadap Rasulullah dan menceritakan kesalahannya itu untuk meminta pendapat ayahandanya Rasulullah s.a.w. bersabda: " Wahai Fatimah, kalau engkau mati ketika suami marah padamu, maka aku tidak akan menyembahyangkan kamu."

 Begitulah berat dan pentingnya ketaatan serta kesetiaan isteri kepada suami. Oleh itu elakkan dari berkata-kata dengan suami yang terpaksa diakhiri dengan kemaafan. Lebih-lebih lagilah Allah murka kalau kita cuba menjadi "queen control" di dalam rumah tangga kita. Oleh itu didiklah diri agar menjadi isteri yang solehah agar dengan itu kita beroleh kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Semoga kita semua menjadi bidadari untuk suami kita..InsyaAllah...

No comments:

Post a Comment

 
Christening Gowns, Free Blogger Templates