Monday, December 20, 2010

 Seronoknya sertai Teen E-Plorace Nisa' Hulu Selangor

Seramai 50 remaja wanita yang tinggal di sekitar Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung, Hulu Selangor gembira kerana berpeluang menyertai Teen X-Plorace yang diadakan buat julung-julung kalinya di persekitaran Masjid As-Salam di Bukit Sentosa, Rawang, Ahad lepas (5 Disember). 
Program anjuran Nisa' Hulu Selangor dengan kerjasama Biro Muslimat Masjid As-Salam itu memberikan manfaat yang cukup besar kepada para peserta kerana ia bukan sahaja memberi peluang kepada mereka mengisi waktu terluang pada masa cuti sekolah dengan aktiviti berguna, tetapi turut membolehkan mereka menimba pelbagai ilmu amat berguna untuk kehidupan dunia dan akhirat.
Seorang peserta yang ditemui, Hasni Julia Abu Hassan, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sentosa 2 secara jujur mengakui, program tersebut memberikan makna yang amat besar kepada beliau kerana ia bukan sahaja membolehkan beliau dan peserta-peserta lain berpeluang mendapat rakan baru, tetapi juga mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara rakan-rakan terdahulu.
Menerusi program itu, ia juga membolehkan beliau menimba pelbagai ilmu yang amat berguna yang melibatkan soal hukum-hakam dalam Islam, ibadat, pembentukan akhlak mulia dan nasihat-nasihat berguna menerusi ceramah dan sesi sembang-sembang, di samping berpeluang belajar memasak, mengemas pakaian, pengurusan perbelanjaan keperluan harian, ketabahan dalam mencari sesuatu barangan yang diperlukan. 
"Selain itu, ia turut mengajar saya tentang kaedah memupuk semangat kerjasama antara para peserta kerana kesemua kerja yang dilakukan adalah secara berkumpulan, di samping memberikan peluang kepada saya mempelajari dengan lebih mendalam erti tolak ansur dan saling faham memahami dengan rakan-rakan ketika melakukan sesuatu kerja.
"Kedua-dua sikap itu sememangnya amat berguna kepada setiap manusia. Jadi, ia perlu dipelajari dan diamalkan secara berterusan dalam hidup bagi membolehkan kerja-kerja yang dilakukan itu dapat dilakukan dengan sempurna, lebih-lebih lagi jika dilakukan secara berkumpulan," katanya.
Beliau yang tinggal di Apartmen Seri Terompet turut mengakui, bayaran RM5 yang dikenakan kepada setiap peserta ternyata berbaloi memandangkan faedah yang begitu banyak yang diperolehi sepanjang program itu berlangsung sejak jam 7.30 pagi hingga 4.00 petang.
Anak bongsu kepada lima orang adik beradik itu amat berharap agar beliau terus diberikan peluang lagi untuk menyertai program itu oleh pihak penganjur jika program itu diadakan tahun hadapan.

Sementara seorang lagi peserta yang ditemui, Rina Farisya Osman, 10, pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Sentosa yang tinggal di Bukit Sentosa 2 turut sependapat dengan beliau.
Beliau yang mengakui amat seronok kerana dapat menyertai program itu berharap agar program tersebut akan diadakan lagi oleh pihak penganjur pada tahun hadapan dan menjadikannya sebagai program tahunan.  
Manakala beberapa peserta lain yang ditemui, selain memuji langkah yang diambil oleh pihak penganjur yang mengadakan program tersebut sempena cuti persekolahan, turut berharap agar mereka turut diberikan peluang lagi untuk menyertai program tersebut kerana ia bukan sekadar menyeronokkan, tetapi juga memberikan banyak pendedahan baru kepada mereka termasuk kesedaran tentang kepentingan berpakaian menutup aurat.
Selain itu, mereka juga turut mengakui kesan baik dari program tersebut dalam usaha menanam kesedaran kepada para peserta tentang kepentingan solat, menghormati ibu bapa, guru-guru, menuntut ilmu dan menjadi manusia yang solehah seperti yang dikehendaki Allah.  
Ketua Nisa' Hulu Selangor, Zurina Basir pula ketika ditemui mengakui, pihaknya amat gembira kerana program tersebut bukan sahaja mendapat sambutan yang menggalakkan, tetapi juga berjaya mencapai matlamatnya.
Perkara itu bukan sahaja dapat dikesan oleh pihaknya sepanjang program itu berlangsung, malah turut diakui secara jujur oleh para peserta program itu sendiri.
Menurut beliau, program tersebut pada mulanya hanya terbuka kepada remaja wanita berusia 12 hingga 16 tahun, tetapi memandangkan banyak permintaan yang diterima yang meminta agar turut dibuka peluang kepada pelajar-pelajar yang lebih muda, ia diubah kepada penyertaan remaja berusia 10 hingga 16 tahun.
Mengikut acara program, kesemua peserta akan berkumpul di persekitaran Masjid As-Salam. Selepas itu, mereka akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan dengan setiap kumpulan terdiri daripada lima orang ahli dan diketuai peserta senior yang dikenali sebagai 'kak long'.
Sepanjang program berlangsung, kumpulan-kumpulan terbabit diberikan tugasan khusus termasuk memasak, mengemas pakaian, membeli barangan keperluan harian di kedai, membina binaan belon dan masing-masing akan 'check point' di tempat yang dikhaskan.
Selain itu, mereka juga turut diwajibkan mengikuti beberapa ceramah agama dan motivasi ringkas yang diadakan secara berselang-seli dengan acara lain, di samping mendengar nasihat-nasihat berguna daripada 'kak long' masing-masing menerusi acara sembang-sembang yang diadakan secara santai dan begitu menyeronokkan.
Di penghujung program, diadakan pula acara penyampaian hadiah kepada para peserta yang berada di dalam kumpulan masing-masing dengan Kumpulan Saidatina Fatimah muncul sebagai johan, Kumpulan Zainab naib johan, Kumpulan Siti Asiah tempat ketiga, manakala Kumpulan Khadijah pula muncul sebagai kumpulan terbaik.
Hadiah-hadiah antara lain berupa naskah Al-Quran, sapu tangan, tape-ware, jug dan hamper antara lain disampaikan oleh Pengerusi Masjid As-Salam, Bendahari Masjid As-Salam, Setiausaha Nisa' Hulu Selangor, Nur Hayati Jalldin, Pengarah Program, Hamiza Sulong, wakil urusetia program, wakil Dewan Muslimat dan Pemuda PAS Hulu Selangor.
Kesemua hadiah tersebut adalah sumbangan Pusat Khidmat Masyarakat Bukit Sentosa, Sekretariat Genarasi Idaman Selangor dan orang perseorangan, manakala kesemua kos perbelanjaan program pula ditanggung oleh Masjid As-Salam.
Beliau, Nur Hayati dan Hamiza yang masing-masing sudah berkeluarga dan mempunyai tugasan penting di rumah dan dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan lain mengakui, walaupun letih dengan kerja-kerja yang dilakukan itu, tetapi ia amat menyeronokkan memandangkan penganjuran program itu ternyata membuahkan hasil yang amat baik.

No comments:

Post a Comment

 
Christening Gowns, Free Blogger Templates